Pendidikan untuk Semua Kanak-kanak 

“Saya ingin mendidik komuniti saya dan adik-adik saya,” ujar Bilkuin Jimmysali, sambil duduk di belakang Sekolah Bajau Laut Omadal (Iskul Sama Dilaut Omadal dalam bahasa Bajau).

Sekolah alternatif ini dijalankan di sebuah rumah berwarna kuning terang, di tengah-tengah ‘sempadan’ antara rumah kediaman orang tempatan dan komuniti Bajau Laut tanpa dokumentasi di Pulau Omadal, Sabah. 

Lima hari seminggu, sekolah ini meriah dengan riang tawa 33 orang kanak-kanak yang amat dialu-alukan di situ walaupun mereka tiada dokumentasi yang sah.

Lebih ramai kanak-kanak ingin belajar disini. Namun begitu, ruang dan dana yang sangat terhad mengekang keupayaan sekolah untuk menerima mereka.

Ironinya, terdapat sebuah sekolah kerajaan di Pulau Omadal – struktur sekolah jelas kelihatan apabila tiba di jeti. Walau bagaimanapun, anak-anak Bajau Laut yang menetap di sini tidak dapat menghadirkan diri ke sekolah disebabkan status mereka.

Kehidupan di laut sudah sebati dengan jiwa mereka sejak dahulu lagi. Walau bagaimanapun, sempadan geografi telah mengubah gaya hidup nomad mereka selama ini. Kini mereka diancam oleh pelbagai masalah sosio-ekonomi; risiko ditangkap, kemudahan penjagaan kesihatan yang terhad dan kekurangan nutrisi. 

Bilkuin kini memegang jawatan Mastal Arikik atau pembantu guru di Iskul, di mana beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik. Jawatan tersebut menepati alumni Iskul yang mencurah bakti sebagai guru selepas tamat pengajian.

Terdapat rasa kecewa dalam ketegasan suara Bilkuin apabila berbicara mengenai kanak-kanak daripada komunitinya yang tidak dapat pergi ke sekolah seperti kanak-kanak lain. Selain daripada kemahiran asas pelajaran, keyakinan dalam bersuara merupakan kualiti yang Jefri bin Musa, salah seorang tenaga pengajar di sini, berharap dapat terapkan dalam diri setiap para pelajarnya.

Selain daripada menyediakan makanan panas bernutrisi tinggi untuk para pelajar, dana Hasanah juga menyediakan elaun untuk tenaga pengajar, air bersih untuk keluarga dalam komuniti dan meningkatkan nutrisi bagi ibu-ibu yang sedang mengandung dan menyusu. 

Nelson Mandela pernah berkata,” Pendidikan merupakan senjata yang amat berkuasa untuk mengubah dunia,” dan inilah yang penting buat komuniti Bajau Laut agar dapat memutuskan kitaran/rantaian ini supaya mereka boleh benar-benar bebas.

ms_MYMalay