Pengerusi

Kerja-kerja yang Yayasan Hasanah laksanakan mengandungi pelbagai komponen yang selari dengan mandat kedua nilai agihan kepada pemegang berkepentingan awam. 

Kolaborasi merupakan pemboleh asas utama Yayasan Hasanah.

Sejak penubuhannya pada tahun 2015, Hasanah telah mengagihkan lebih kurang RM1.3 bilion kepada lebih sejuta orang. Walaubagaimanapun, kita tidak dapat melaksanakan tanggungjawab ini tanpa kolaborasi positif dengan pelbagai pihak. Sumbangan kita merangkumi golongan penerima yang lebih luas melalui pelbagai intervensi sepanjang tahun.

Saya tidak pernah ragu terhadap objektif utama penubuhan Yayasan Hasanah iaitu sebagai penyuntik semangat buat skuad kami, ke arah pelaksanaan dan sumbangan yang lebih berkesan.

Rakan kerjasama kami termasuklah organisasi-organisasi pertubuhan awam, badan-badan korporat dan kerajaan, jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian di Malaysia. Langkah awal dalam menghulurkan bantuan dengan lebih efektif adalah memahami keperluan komuniti. Seterusnya, bertindak secara kolektif, bukan berasingan.

Pendekatan berasaskan keperluan dalam membantu mengurus dan menyokong golongan ini amat penting bagi mengelakkan pembaziran sumber serta usaha yang bertindan.

Di dalam eko-sistem kolaborasi, Hasanah memegang peranan sebagai konvener, fasilitator dan ejen perubahan terhadap lima fokus utama iaitu Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Seni dan Ruang Awam serta Pengetahuan. Sebagai pemangkin perubahan, saya amat berbangga dengan pencapaian Yayasan Hasanah yang memberangsangkan, sebagai tangan kanan Khazanah Nasional yang banyak membantu ke arah Malaysia yang lebih berpotensi.

Saya dengan suka citanya mempersembahkan Laporan Hasanah 2021 sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah kami bantu; biarpun pelbagai halangan dihadapi, mereka tetap cekal mengharungi cabaran.

MD

Apabila COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik di seluruh dunia, pada mulanya ia dikira hanya sebagai krisis kesihatan, tapi dengan sekelip mata ia berubah menjadi krisis sosio ekonomi yang serius. 

Pada tahun lalu, Laporan Insiden Kemiskinan dan Anggaran Pendapatan Isi Rumah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa lebih kurang setengah juta golongan berpendapatan sederhana M40 telah jatuh ke dalam kategori B40 pasca pandemik.

Dalam kita menempuhi peningkatan kadar pengangguran dan kehilangan punca pendapatan, di samping kematian akibat pandemik, krisis iklim dan banjir besar pula turut memberi kesan kepada ramai antara kita.

Amat luarbiasa - walaupun mereka berkali-kali didatangi pelbagai cabaran, apa yang saya dan skuad Hasanah dapat saksikan hanyalah kecekalan dan ketabahan yang tinggi di dalam komuniti yang kami bantu. 

Atas sebab inilah Laporan Hasanah 2021 menekankan tema Cekal Mengharungi Cabaran.

Situasi ini mengingatkan saya kepada ungkapan Dr Martin Luther King Jr yang berbunyi, “Keperibadian sebenar seseorang bukanlah pada pendiriannya ketika masa senang, tetapi pendiriannya ketika saat yang mencabar.”

Bagi saya, ungkapan ini menggambarkan kekuatan setiap individu yang berupaya mengharungi cabaran di tengah-tengah pandemik, bencana alam dan krisis ekonomi. Yayasan Hasanah sendiri menyaksikan tahun yang agak mencecah rekod baharu dengan jumlah projek yang dianugerahkan, individu yang dibantu dan dana yang diagihkan melebihi tahun-tahun sebelumnya. Cekal Mengharungi Cabaran bukan hanya dilihat di kalangan komuniti, malahan di kalangan kakitangan kami, serta sektor korporat yang memecah rekod sumbangan dana CSR, termasuk sektor perkhidmatan awam. 

Tahun 2021 turut menjadi saksi akan kekuatan kita apabila saling berkerjasama.

Kolaborasi dan kerjasama merupakan tunggak utama sumbangan tahun lepas, di mana tindak balas secara kolektif daripada kerajaan, GLC dan sektor swasta membolehkan koordinasi dan impak yang lebih berkesan. 

Bersama-sama, kita boleh memanfaatkan keupayaan dan sumber masing-masing dengan usaha yang bersepadu. Ini dapat memastikan bahawa bantuan dan sokongan dapat dihulurkan kepada komuniti yang memerlukan, dengan lebih efisien.

Sebagai contoh, model kolaborasi yang signifikan pada tahun lalu merupakan usaha GDRN, iaitu Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan. GDRN telah membawa transformasi dalam pengurusan tindak balas yang lebih selaras, ketika pandemik dan bencana banjir pada Disember 2021. Dana daripada 39 syarikat berjumlah RM207 juta telah diagihkan untuk dimanfaatkan oleh mereka yang terkesan teruk akibat pandemik dan banjir.

Manakala melalui inisiatif perintis CERDIK, 32 syarikat GLC organisasi-organisasi korporat berganding bahu untuk menyumbangkan lebih 150,000 komputer riba dan peranti berserta akses data. Inisiatif ini telah membolehkan pelajar-pelajar daripada golongan berpendapatan rendah tidak ketinggalan dalam pembelajaran atas talian.

Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan buat Kementerian Kewangan atas kepercayaan yang diberi kepada Yayasan Hasanah dalam melaksanakan pelbagai program sosial dan bantuan kecemasan melalui pakej-pakej rangsangan, di samping peruntukan Bajet 2022 yang membolehkan kita memberi impak kepada 1.48 juta orang sepanjang tahun 2021. Kerjasama ini berteraskan struktur tadbir urus yang kukuh, kepercayaan dan kebolehsuaian dalam memenuhi keperluan yang mendesak. Ini merupakan faktor utama kejayaan sesebuah kerjasama kerana pelaksanaan yang pantas amat penting demi membantu mereka yang memerlukan.

Buat rakan-rakan pelaksana kami, lihatlah betapa kuatnya “KITA” apabila berkerjasama.

Bagi kami, berganding bahu bererti berupaya menyumbang ke arah Memajukan Malaysia, insan demi insan, merentasi segenap lapisan masyarakat. 

Jumlah individu yang mendapat manfaat Yayasan Hasanah sepanjang tahun 2021 adalah sebanyak 66% daripada jumlah keseluruhan sejak tahun 2015. Sementara itu, jumlah dana yang diurus, rakan-rakan kolaborasi dan projek-projek yang diselia mewakili hampir separuh daripada jumlah keseluruhan sejak penubuhan Yayasan.

Namun begitu, rekod baharu untuk keperluan bantuan yang mendadak ini menjadi peringatan yang mendedahkan jurang dalam sistem perlindungan sosial negara. Pandemik ini menyaksikan realiti pahit di mana ramai individu yang terkesan hebat dalam mengharungi cabaran getir ini.

Dalam merenung kembali perjuangan kita sepanjang pandemik ini, amat penting untuk kita menilai semula sistem perlindungan sosial negara dengan pandangan yang lebih holistik. 

Seiring dengan keperluan semasa, kami turut menaiktaraf model pertumbuhan kami dalam mengembangkan rangkaian rakan kerjasama kami, serta menambah baik sistem penilaian impak agar kami lebih memahami dan seterusnya memenuhi keperluan komuniti.

Kita sering mendengar ungkapan, “Jika ingin bergerak pantas, bergeraklah seorang diri. Tetapi jika ingin melangkah jauh, melangkahlah bersama-sama”. Harapan kami adalah agar kita dapat terus melangkah jauh, dengan rakan kerjasama Yayasan Hasanah.

Saya juga amat berterima kasih kepada Lembaga Pemegang Amanah atas bimbingan yang amat berharga, dan tidak lupa juga buat skuad Hasanah yang turut sama cekal berjuang pada tahun yang penuh dengan cabaran ini.

Kepada semua rakan kerjasama Yayasan Hasanah, saya berharap Laporan Tahunan Hasanah yang dipaparkan di sini memberi manfaat dan sedikit sebanyak dapat memberi gambaran akan perjuangan kami pada tahun 2021. 

Sekian, assalamualaikum w.b.t. dan terima kasih.

ADVERSITY

Selain daripada inisiatif-inisiatif Bantuan Bencana Kemanusiaan berkaitan pandemik dan bencana banjir, tahun 2021 turut menyaksikan pertambahan skop tugas termasuk fokus terhadap kesihatan mental serta kebajikan haiwan. 

Program Kesihatan Mental PINTAR-UTAR untuk warga pendidik dan kaunselor di Sarawak mengetengahkan isu kesihatan mental di kalangan belia serta melatih para pendidik dalam mengenalpasti cabaran-cabaran psikologi. 

Sumbangan juga penting buat penerima Dana Khas Hasanah iaitu Bahtera Noah Ipoh. Persatuan ini banyak menerima panggilan untuk menyelamatkan kucing-kucing dan anjing-anjing terbiar di sepanjang pandemik termasuk penyediaan makanan, penjagaan serta perlindungan. 

Tiada diskriminasi dalam menangani krisis. Penerima sumbangan adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat dan pertubuhan; inilah keistimewaan dan kehebatan rakyat Malaysia.  

Di Sabah, kami berganding bahu dengan Persatuan Pendidikan Bajau Laut, atau lebih sinonim dengan Iskul Sama diLaut Omadal yang mengajar anak-anak tidak berdaftar di Pulau Omadal Semporna sejak tahun 2015.

Manakala di Sarawak pula, rakan kerjasama kami Whatmatters berusaha menangani masalah nutrisi golongan miskin bandar B40 dengan mengering, membeku dan mengetin makanan bernutrisi tinggi yang dibeli daripada petani luar bandar. 

Menggabungkan isu persekitaran dan kelangsungan hidup, Program Penanaman Buluh bagi Pemerkasaan Luar Bandar telah diadakan untuk membantu 50 Orang Asal Pos Poi, Perak manakala Program Kitar Semula dan Naiktaraf Plastik Beyond Bins Biji-Biji di Kampung Tengah, Puchong dapat menjana pendapatan di samping memastikan sisa buangan plastik diuruskan dengan sebaik mungkin. 

Pada masa yang sama, program berkaitan modal insan turut dititikberatkan. Pemain erhu, Tommy Chin yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik memperoleh peluang kedua apabila dipilih untuk membuat persembahan di pusat-pusat vaksinasi, manakala Persatuan Konservasi Penyu Malaysia memperkasakan Wanita di dalam komuniti dengan memberi latihan dalam bidang jahitan, pemasaran, fotografi dan kewangan. 

Bantuan yang dipinta datang daripada segenap lapisan masyarakat dan rakan-rakan kerjasamai serta pihak-pihak yang memerlukan tetap bersemangat waja dalam mengharungi pelbagai cabaran; inilah ciri utama yang ditonjolkan.