Tetaplah Menari: Masa untuk Refleksi Diri

Sebagaimana penggiat-penggiat seni yang lain, kehidupan penari Odissi Geethika Sree berubah sekelip mata apabila dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Menari adalah sebahagian daripada hidup saya. Sejak umur saya tiga tahun, ibu sudah nampak bakat semulajadi saya dalam bidang tarian,” ujarnya yang merupakan penari utama dan pengurus tadbir Yayasan Sutra (Sutra).

Setelah pandemik mengakibatkan banyak aktiviti sosial dihentikan seketika, Geethika terpaksa berhenti mengajar atau membuat persembahan - menjadi ujian buat dirinya. 

Hikmah di sebalik pandemik ini, Sutra mula menyimpan dan mengemaskini koleksi-koleksi budaya mereka yang berharga. Foto-foto dan pelbagai barangan lain yang lama tersimpan di dalam stor bertukar menjadi aset-aset yang sangat bernilai.

Sejak menyertai ArtsFAS, Geethika kembali menyerlah; menari dengan penuh asyik di hadapan penonton.

Dengan bantuan ArtsFAS, projek Rentak Bumi anjuran Sutra Foundation telah mempersembahkan budaya seni tarian daripada pelbagai etnik melalui persembahan langsung, secara maya dan sesi webinar.

Enam persembahan yang mempunyai dua segmen setiap satu telah dijalankan secara maya di sepanjang projek ini yang dibawa oleh Sutra Foundation dan rakan-rakan kerjasama, Di Dance dan Dua Space Dance Theatre. Program tersebut berlangsung selama tiga hari, bertempat di pentas gah Amphi-Sutra yang padat dengan pelbagai persembahan seni budaya.

Dalam tempoh 6 bulan, projek Rentak Bumi telah menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan, mempromosikan seni tari tradisional ketika waktu yang amat mencabar buat sektor ini.

Walaupun sebelum berlakunya pandemik, perjalanan penggiat seni tetap penuh dengan cabaran. “Saya berharap agar kami dapat bergantung kepada seni kami untuk meneruskan kehidupan pada suatu hari nanti,” ujar Geethika. Sementara itu, beliau akan terus memperjuangkan seni tari tradisional yang sangat beliau cintai.

ms_MYMalay