Seni Tenun Telepuk : Warisan yang Dilupakan

Pada zaman dahulu, kain bercorak mewah yang dikenali sebagai Telepuk hanya dihasilkan di istana untuk dipakai oleh keluarga diraja. 

Sayangnya, kain Telepuk telah pupus selama tiga generasi.

Kini, Gerakan Langkasuka yang dimulakan oleh Lamar Dollar Sdn Bhd bertekad untuk menjayakan usaha ini. Mereka menjalankan kajian, menyediakan dokumen dan menerbitkan buku serta video bagi menghidupkan semula Telepuk.

Disokong oleh Hasanah, mereka bekerjasama dengan Adiguru Norhaiza bin Nordin, penerima anugerah Tokoh Kraf Negara tahun ini, dalam usaha menyelamatkan seni tekstil yang mewah ini daripada luput ditelan zaman.

Pakar ukiran kayu, Adiguru Norhaiza menguasai kemahiran ini sejak tahun 1984. Dalam memperbaiki kemahiran kraf yang dimilikinya, beliau mendapati telepuk juga menggunakan corak ukiran pada blok-blok cetakan kayu. Maka, beliau terus mendalaminya. 

Sehingga kini, beliau telah menjalankan enam bengkel anjuran Lamar Dollar, dan salah satu daripada bengkel tersebut diperkenan DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar AlHaj.  

Aspek penting dalam Gerakan Langkasuka adalah melatih bakat-bakat baharu. “Ketika di universiti, kami belajar tentang sejarah tekstil negara-negara barat,” ujar Intan Jailani, pegawai di Lamar Dollar. Beliau berharap agar pihak universiti dapat memberi fokus kepada seni tekstil tempatan.

Ketua Seni, Kebudayaan dan Ruang Awam, Zainariah binti Johari, menyatakan bahawa sambil mempromosikan dan menghidupkan semula Telepuk, “Amat penting untuk mengekalkan keaslian. Namun begitu, inovasi harus seiring.” Beliau teruja untuk melihat bakat-bakat generasi baharu yang akan lahir daripada bimbingan Adiguru Norhaiza di samping menyaksikan seni yang hampir dilupakan ini mendapat nafas baru.

ms_MYMalay