Kerana Cintanya Kepada Haiwan

Presiden Noah’s Ark Ipoh, Norfazilatun Mohd Zin, sebelum ini tidak dapat memelihara haiwan disebabkan penyakit semputnya. 

“Pada suatu hari, saya telah menyelamatkan seekor kucing dan serangan semput saya tiba-tiba hilang! Sejak itu, saya berjanji untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar, “ kongsi beliau yang merupakan seorang guru di Imperial International School, Ipoh.

Terkini, beliau memelihara 20 ekor kucing di rumahnya. 

“Bukan mudah untuk berikan kucing-kucing ini kepada orang lain. Tapi saya perlu bersikap realistik.” 

Didaftarkan sebagai NGO pada tahun 2011, Noah’s Ark kini dikemudi oleh 11 orang ahli jawatankuasa dan sukarelawan. 

Tumpuan organisasi kebajikan haiwan adalah; mengawal populasi haiwan yang terbiar dan dijalankan melalui kaedah “Tangkap - Kasi - Lepas - Urus”. Ia turut membiayai sebahagian daripada kos mengasi kepada pemilik haiwan yang tidak mampu. 

Bergantung sepenuhnya terhadap derma orang ramai untuk terus beroperasi, situasi NGO agak parah ketika pandemik.  

“Kami perlu membayar upah pekerja, membeli makanan haiwan dan menyediakan rawatan. Oleh itu, dana daripada Yayasan Khazanah amat membantu,” ujar Norfazilatun. 

Kemuncak pandemik menyaksikan peningkatan dalam jumlah haiwan yang terbiar, apatah lagi bila timbulnya spekulasi bahawa manusia boleh mendapat jangkitan Covid-19 daripada haiwan. Namun begitu, kadar adopsi haiwan meningkat naik kerana orang mulai merasa sunyi di rumah - tapi sekali lagi, haiwan-haiwan ini ditinggalkan sebaik kawalan pergerakkan dilonggarkan.

Harapan Norfazilatun, “Pencinta haiwan akan terus memberi contoh yang baik dengan menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab, di samping memainkan peranan dalam membantu haiwan-haiwan terbiar.” 

Harapan beliau mengingatkan kita kepada kata-kata Mahatma Gandhi , “Kehebatan sesebuah bangsa dan progres moral boleh disaksikan melalui cara haiwan dilayan.”

ms_MYMalay