Tuntung Sungai, Mesin Jahit dan Batik  

Apakah persamaan di antara tuntung sungai, mesin jahit dan batik?  

Pada kebanyakan orang, tiada bezanya.   Namun, bagi Azlina binti Zakaria, 49 tahun (atau lebih mesra dengan panggilan Kak Na), ia menyimpan pelbagai kisah.

Projek pemerkasaan komuniti yang dimulakan oleh pengasas bersama Persatuan Konservasi Penyu Malaysia, Dr. Chen Pelf Nyok yang ditubuhkan pada tahun 2019 membolehkan Kak Na meraih pendapatan sebanyak RM1,000 ke RM1,500 dengan menjahit kraf untuk TCS.

Program dengan objektif serampang dua mata ini melibatkan penambahbaikan kelangsungan hidup melalui pemerkasaan Wanita di samping memberi kesedaran tentang ancaman terhadap tuntung sungai.

“Dana Yayasan Hasanah tiba tepat pada waktunya dan saya berjaya menganjurkan tiga bengkel peningkatan kemahiran,” ujar Dr Pelf. Peserta-peserta bengkel belajar tentang fotografi, pemasaran produk dan kemahiran asas kewangan.

Kak Na menyertai semua bengkel yang dianjurkan dan beliau sangat berpuas hati. 

“Biarlah orang kata saya buta IT!” tegas ibu kepada empat orang anak yang berupaya menjahit 100 helai pelitup muka dalam masa lima hari sambil menjaga anak-anaknya. 

Ketika pandemik melanda yang mengakibatkan suami beliau, seperti orang lain juga, kehilangan pekerjaan, Kak Na bersyukur kerana masih boleh menanggung keluarga melalui pendapatan daripada menjahit. 

Dr Pelf menyatakan bahawa program ini menguntungkan kedua-dua belah pihak.

“Tanpa mereka, TCS tidak akan mempunyai hasil kraf yang boleh memberi kesedaran tentang inisiatif kami. Kami sedar bahawa ketika pandemik, NGO tidak boleh berharap pada sumbangan semata-mata; salah satu cara untuk terus bertahan adalah menjalankan perniagaan.

Faktor utama yang mendorong Dr Pelf menjalankan program ini adalah apabila melihat pesertanya gembira kerana mempunyai sumber pendapatan sendiri buat pertama kali dalam hidupnya. 

Dia juga melihat bagaimana para suami membantu isteri masing-masing memasang tali elastik pada pelitup muka. “Program ini bukan sekadar memperoleh pendapatan, malahan membina ikatan kekeluargaan,” ujarnya. Inilah nilai sebenar yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit.

ms_MYMalay