Pendekatan Komuniti dalam Menangani Isu Pembuangan Sisa Plastik

Penggunaan plastik ibarat penggunaan dadah. Ringan, mudah dibentuk, kuat dan murah. Daya tahan yang tinggi terhadap pencemaran menjadikan plastik amat berguna di dalam persekitaran perubatan steril seperti hospital ataupun untuk menyimpan lebihan makanan.

Kita tahu keburukannya - terhadap bumi, haiwan mahupun manusia. Namun begitu, kita tidak dapat hidup tanpa plastik. Benarkah plastik ini banyak keburukannya? Atau sebenarnya sikap kita yang menyebabkan plastik dianggap membawa lebih banyak kemudaratan? 

Inisiatif Biji-Biji melalui Projek Beyond Bins mengajak anda mengitar semula sisa plastik dan menguruskannya dengan lebih baik. 

Ketua projek komuniti Nur Nilam Sari Jusdean menegaskan, “Plastik sangat berguna tetapi kita hendaklah mengawal penggunaannya.” 

Projek ini memberi nilai baharu kepada sisa plastik di samping menyediakan punca pendapatan alternatif buat komuniti yang kurang bernasib baik. 

Mesin kitar semula, diinspirasikan dan dibina mengikut pelan open-source Precious Plastic Project oleh Dave Harkens, disediakan untuk kegunaan komuniti. Diletakkan di premis perusahaan sosial Bohomys, ia merupakan tempat yang tidak asing bagi mereka dan secara tak langsung memudahkan Beyond Bins apabila mereka pertama kali bermula.  

Buat masa ini, hanya plastik kategori 2 dan 5 (seperti penyedut air, botol-botol pencuci dan penutup botol air) yang sesuai digunakan pada mesin ini. Antara produk-produk baru yang dihasilkan melalui proses ini termasuk teko dan alas gelas. 

Ketua Pegawai Eksekutif Biji-Biji, Juliana Adam memberitahu kami,”Pada mulanya mereka agak keberatan untuk turut serta kerana mereka tidak pasti bagaimana projek ini boleh membantu menjana pendapatan. Namun begitu, apabila melihat ada di antara rakan-rakan mereka mula memperolehi pendapatan, mereka lebih yakin dengan projek ini.

Sebanyak RM2,889 pendapatan dihasilkan melalui projek ini. 

Laporan Pulangan atas Modal/Pelaburan Sosial (SROI) Biji-Biji kepada Social Value UK International menyatakan bahawa setiap RM1 dibelanjakan, Beyond Bins menawarkan Pulangan atas Pelaburan sebanyak RM7.32 kepada komuniti dan alam sekitar. Ini memberi impak yang tinggi dan menjadi model yang boleh digunapakai untuk komuniti lain.

Selain daripada menyediakan penyelesaian kitar semula plastik berskala kecil, matlamat Beyond Bins adalah untuk menerapkan budaya kitar semula di kalangan masyarakat. Setakat ini, 1,072 orang telah didedahkan dengan plastik dan kegunaannya di samping 437kg telah berjaya dikumpul untuk tujuan kitar semula. Sari, yang merupakan pemimpin termuda di antara 13 pempimpin komuniti yang lain berasa sangat teruja melaporkan bahawa sisa plastik di kawasan kejiranannya semakin berkurangan – satu perubahan yang amat dialu-alukan dan petunjuk bahawa projek ini berada di jalan yang betul.

ms_MYMalay